Syukur kami semua telah selamat pergi dan balik dari memancing di P.Sibu,Johor. Kali ini giliran saya jadi tekong darat. Pertama kali saya menjejakan kaki di P.Sibu, memancing dengan kawan-kawan sejiran, sekerja. Semuan persiapan dirancang sebaik mungkin bernasihatkan orang ketiga di P. Sibu, Ella yang tak pernah kami jumpa dan abangnya,Jamal.
9.00pg, 4hb Julai,Bandar Putra.
Kami bertolak ke P. Sibu dengan 6 orang, Atuk Aris, Cigu Nizam, Wak Kang, Ah Lai, Padili dan saya, walaupun rancangan awal 8 orang,akan tetapi seorang menarik diri atas sebab keluarga, seorang lagi menarik diri tanpa alasan semasa kami dah nak bertolak. Kecewa rasanya bila tak ambil wang pendahuluan sebelum ni. Apa pun kami tetap bertolak juga malam tu.Janji sudah dibuat, bukan ke janji itu hutang yang wajib diselesaikan. Dalam 15 minit perjalanan, Ella talipon saya dan memberitahu ada masalah sikit dengan bot yang nak mengambil kami nanti. Air surut, bot tak boleh keluar dari pulau.Pada kami ini dah jadi masalah besar, kat mana kami nak tidur dan berehat nanti, letih berkerja siang tadi pun belum hilang lagi tapi terasa pelik juga bot fiber tak boleh nak keluar sebab sebelum tu, saya pernah bertanya ” Ada masalah tak kalau kami turun ke laut pukul 12:00 malam?”. Biasanya kalau kami naik dari Mersing, memang tak boleh selepas pukul 12:00 malam.
10:00pm,Kota Tinggi.
Sambil minum, kami buat keputusan untuk terus ke Jeti Tanjung Leman dan tidur dulu di surau jeti Tanjung Leman. Bot akan ambil kami pukul 7:00 esok, kecewa sebab perjalanan kami tak seperti yang kami rancang, malam untuk candat sotong dah jadi malam tidur di surau.Tengah malam kami sampai di Jeti. Dan yang sedihnya saya terbawa kunci motor, mesti orang kat rumah meradang semacam.
12:00 pg 5hb Julai,Jeti Tg. Leman.
Kami tidur ayam di surau Tg.Leman dengan bertemankan nyamuk dan dengkur enjin bot kawan-kawan. Lai tidur kat luar, rasanya dia tak boleh tidur. Wak Kang tidur dalam kereta. Pukul 5 pagi, kami punggah barang ke jeti, air dah mula pasang, ada yang cadangkan kami pancing sementara tunggu bot. Nanti bukan naik ikan, tapi naik angin sebab kena tunggu bot, biasanya bot yang tunggu kami. Seorang lagi kaki sampai, Ah Mok, bidan terjun sebab tak cukup krew.
7:00 pg
Keresahan kami reda bila bot kami sampai, Pak Din Lita muncul, Lepas bayar cukai jeti, kami turun ke laut dan terus singgah di rumah mak Ella di P. Sibu untuk bersarapan.” Em.. sakit badan naik speed bot ni, tak boleh elak lubang ’ kata Wak Kang bergurau, baju basah tak payah cakap la. 20 minit kami dah sampai kat pulau, Pad Din tunjukkan kami beting pasir yang halang speed bot dia keluar, kami cuma senyum aje. Sampai kat pulau, terpesona dengan keindahan pulau, aman dan tenang sekali. Disambut dengan kemesraan keluarga Mak Ella, sarapan dah siap, apa lagi, bedal la apa yang ada. Rasa malas la pulak nak tinggalkan pulau.
9:00 pg
Kami keluar ke laut, Ajib anak Pulau Sibu jadi awak-awak kami, ok, jom mancing la, apa lagi, 15 minit kami dah sampai kat unjam Tok Penghulu, cari umpan segar dan ikan pasar sikit, kerja kerja. Ah Lai rasmikan ikan pertama, ikan kunyit. Kemudian mula la banyak ikan pasar yang naik, seronok kami layan ikan kat unjam. Kerapu pakai pempes lagi pun kami angkat naik, tapi kalau segar lagi kami lepaskan.
Dah satu jam lebih kami kat unjam, 2 orang dah tumbang, tak cukup tidur agaknya walaupun tadi dah telan gula-gula feri senget sebelum ke laut. Mabuk tak boleh nak agak. Wak Kang dengan Atuk Aris yang penuhkan tong ikan kami, raja apollo, strike aje. Apa buntat mereka pakai.
Pak Din suruh cadangkan supaya turunkan 2 orang yang icu tu kat Pulau Karang. Bagus juga bagi dia berehat kat wad bawah pokok, kami tinggalkan mereka dan seorang lagi kat Pulau Karang tu dengan bekalan sedikit, mana tahu kami terlupa nak jemput balik nanti. Sementara kami terus kerja, tak ada ikan sangat bila kami pindah, paling besar pun kerapu karang tak sampai sekilo. Air tak cantik sangat, angin pun dah mula kuat dan ombak pun dah naik tinggi, kami pindah lagi ke tempat yang teduh sikit, tapi masih senyap, tak semeriah tadi, kat unjam. Seorang lagi dah baring, bosan tak ada ikan gigit la tu. Kami ambil keputusan untuk bailk ke pulau makan tengahari. Ikan tak makan baikkita balik makan, apa lagi. Lepas ambil 3 orang tadi, kami terus balik ke Pulau Sibu, Pak Din tekan speed bot dia macam F1 la pulak. Sakit badan dan ahh.. basah lagi.
1:30 ptg
Sebelum turun, Abg Din pesan dia tunggu kat Jeti pukul 3:00 ptg. Takut bot tak lepas nak keluar kalau naik dari kampung. Makanan dah terhidang masa kami sampai di rumah mak Ella, P.Sibu, berselera sekali kami makan dengan berlaukkan ikan kerapu masak asam pedas dengan sayur bendi masak sambal, telur goreng dan ikan goreng. Teringat asam pedas kat kampung, asam pedas Pt Jawa. Kalau balik, rajin juga saya bawa bapa saya kesana. Budak-budak ICU pun dah makan, dah ok agaknya. Ada juga yang bersuara ” macam ni boleh datang lagi, bawa anak bini ”. Habis licin, tinggal tulang dengan pinggan aje atas meja. Angin kuat bertiup dari pantai, perut dah kenyang, kami sempat tidur sekejap kat anjung rumah, em malasnya nak ke laut lagi. Dah sedap tidur.
3:15 ptg
Kami berjalan ke jeti, agak jauh jugak berjalan tapi seronok sambil melihat kawasan kampung P. Sibu, di jeti Abg Din dah menunggu, kami bertujuh ke laut lagi, kali pertama turun, tak berapa galak, lepas 30 minit kami pindah lagi, tempat kedua pun sama juga, kami terus ke kelong Ah Fatt mencuba nasib, dua hari lepas masuk dalam Berita Harian, tempat baik untuk memancing. Cheh! sama macam sebelumnya, pindah dekat lagi dengan kelong pun sama, ombak agak tinggi tapi air langsung tak berarus, Abg Din kata angin tenggara dah mula sampai. Abg Din ajak kami berpindah ke tempat teduh sikit. Petang tu kami tak banyak naik ikan. Penat kerana ikan tak naik, kami ambil keputusan terus balik makan malam, dalam perjalanan balik kami ambil keputusan untuk keluar lagi pagi esok, ombak dah nampak putih petang tu, tak membenarkan kami keluar lagi malam nanti. Sedih bila teringat pagi tadi, terlepas cakap "Ikan tak naik, angin yang naik". Allah tu Maha Mendengar.
7:45 ptg
Ah Lai dengan Ah Mok dah sibuk nak balik JB, selepas berbincang, suka hati kau lah, penat saya menghalang, Pak Din setuju hantar mereka ke Tg Leman malam tu atas perbelanjaan mereka sendiri. Selepas mandi di rumah mak Ella, kami duduk di beranda sambil berbual, gelap kat luar, lebih risau bila dengar deru angin dari arah laut sambil mengharap mereka selamat sampai ke Tg Leman.” Yang bawa bot pun berani hantar” kata Ella nak melegakan saya. Rasa lega bila Ah Lai menalipon kami yang mereka sudah di darat. Baru lega hati saya.
Lebih kurang pukul 8 lebih, kami makan malam, nampak bersusah payah mereka membakar ikan kat luar tu, alamak ikan ketarap bakar tu, syukur rezeki kami mewah malam itu, masing-masing dah ambil nasi sikit, biasalah makan ikan berlauk nasi. Ini yang kami nak datang lagi bawa keluarga. Em! entah bila. Lepas makan, barulah Fadili sibuk nak ambil gambar tulang ikan, lupa la nak ambil gambar ikan tadi sambil ketawa.
Malam tu Pak Din datang berbual dengan kami, tinggal saya dengan Cigu Nizam aje yang layan, yang lain dah bawa bot belayar, tekan minyak habis, enjin bunyi kuat tu. Selepas Pak Din balik, kami tidur lena malam tu walaupun tidur kat anjung luar, bukan apa, saja nak tidur berangin laut walaupun Mak Ella berkali-kali suruh kami tidur di dalam. Buat tak reti aje ambil bantal dengan tikar bawa ke anjung yang berbumbung. Di luar ada lembu orang kampung, rusa pun ada, tapi kami tak nampak pun ada rusa. Tidur
7:00 pagi, 5 hb Julai.
Selepas siap sarapan, kami ucapkan terima kasih dan kegembiraan kami pada Mak Ella dan keluarganya atas layanan mereka, kami terus ke jeti, semalam kami dah pesan dengan Pak Din untuk bawa kami terus ke unjam Karang Penghulu, tempat semalam, kami dah tak fikirkan lagi ikan sisik atau ikan besar yang kami idamkan sangat ty, yang penting kami ada ikan untuk dibawa pulang, syukur pagi tu, sebab kami dapat hasil seperti semalam, Atuk Aris dengan Wak Kang yang paling handal lagi, ikan kerapu paling besar pun mereka yang naikkan. Sempat juga saya tidur pagi tu dalam bot, letih tak dapat ikan, apollo pun dah tak ada. Satu dari joran saya pun meragam, tak nak kerja langsung dari semalam pagi.
12:15 th.
Sadar dari tidur, pandang keliling lain macam aje ni, belum sempat saya bersuara, Pak Din dah bertanya ” macamana ”. ” Game Over , kemas barang, kita nail darat ” kata saya. ”Pukul berapa ni? ”, ” Dah kita balik ”. Pak Din senyum mendengar jawapan saya. Dalam perjalanan balik, kanan dan kiri kami dah mula gelap nak hujan, ombak pun dah mula tinggi, risau dalam hati bila melihat kaki angin di sebelah kiri kami, darat jauh lagi. Tiba saja di jeti, hujan dah mula turun. Syukur kami dah selamat sampai kedarat. Masalah tadi jika kami lambat bergerak. Pak Din ajak kami minum, tapi kami kata tak apalah, lain kali aje. Selepas bersalam dan ucapkan terima kasih dengan Ajib dengan Pak Din, kami bersalin baju di Tg. Leman dan terus pulang ke Bandar Putra dengan 2 tong coleman berisi ikan unjam. Makan tengahari di Kota Tinggi. Akhirnya kami tetap berpuas hati sebab hasil kami lebih banyak dari trip kami ke Pulau Rimau, Penyabung bulan lepas. Hajat nak makan ikan ketarap tercapai juga walau bukan kami yang pancing.
Kalau nak ikan besar dan segar, tunggu ajalah pak nelayan balik. Apa nak bersusah payah pergi memancing di laut, tapi sebenarnya bukan hanya ikan yang kami cari.
Mukadimah
Sesungguhnya segala puji adalah milik Allah. Kita memuji, memohon pertolongan dan meminta ampunanNya. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan dan keburukan amal perbuatan kita. Siapa yang ditunjukan Allah maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Siapa yang disesatkan Allah maka tidak ada yang dapat menunjukanya. Aku bersaksi bahwa tidak ada sesembahan yang haq kecuali Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. semoga shalawat, salam dan keberkahan dilimpahkan kepada beliau, keluarga, sahabat dan segenap orang yang mengikutinya.
Amma ba'-du.
Amma ba'-du.
This entry was posted
on Wednesday, July 29, 2009
and is filed under
Catatan
.
You can leave a response
and follow any responses to this entry through the
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.
Facebook Badge
Profil
" Dan tiada sama ( antara ) dua laut;yang ini tawar, segar, sedap diminum, dan yang lain masin lagi pahit, Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakai, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut, supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur."(Faathir[35]:12
0 ulasan